SHAH ALAM - Umno yakin melakukan kejutan pada PRK Sungai Kandis di bawah kepimpinan presiden baharunya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kepimpinan baharu ini berupaya menyediakan formula terbaik buat Umno untuk bertanding dalam PRK pada 4 Ogos ini.

Menurutnya, kesepakatan adalah kunci kemenangan dalam sesuatu pilihan raya.

“Saya yakin Umno mampu membuat kejutan dan saya menyokong kenyataan Timbalan Presiden Umno untuk bertanding di kawasan ini.

“Di bawah kepimpinan Umno yang diketuai oleh YB DS Ahmad Zahid Hamidi, Umno berkeupayaan menyediakan formula terbaik dalam PRK ini jika benar membuat keputusan bertanding,” katanya pada Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKET BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: Bertanding atas nama Umno bukan BN]

Mengulas lanjut, beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada perubahan kepimpinan Umno di Selangor yang ketika ini dilihat lebih padu dan meletakkan kepentingan parti melebihi yang lain.

“Perubahan ini penting dan saya percaya Umno berkeupayaan melakukan kejutan di kawasan ini walaupun kita tahu cabarannya besar.

Katanya, bagaimanapun, persediaan daripada pelbagai aspek juga perlu dilakukan memandangkan Sungai Kandis dikatakan sebagai kubu kuat Pakatan Harapan.

“PRK Sungai Kandis adalah peluang terbaik bagi Umno menguji dan menilai kedudukan serta kekuatan parti selepas PRU14 dan sebaik Umno selesai membentuk kepimpinan baharu.

“Tapi kita tidaklah boleh hanya sekadar bertanding sebaliknya persiapan atau persediaan daripada pelbagai aspek perlulah dilakukan,” katanya.