SABAK BERNAM - Umno mempunyai strategi tersendiri untuk menghadapi PRU15 dengan meletakkan calon parti itu sekiranya terdapat 60 peratus pengundi Melayu di kerusi Parlimen dan Dun.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, parti itu sedia berunding dengan parti komponen lain demi memastikan calon Umno meraih kemenangan.

"Kalau hendak menang (PRU15), kita terpaksa meminta pengorbanan daripada komponen BN lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama Ahli Empat Peringkat Umno Bahagian Sabak Bernam di Dewan Umno Bahagian Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat peringkat pengurusan tertinggi Umno.

Ismail Sabri turut membayangkan kerusi Parlimen Hulu Selangor misalnya mungkin ditandingi Umno pada PRU15 tanpa memikirkan soal kuota.

"Saya difahamkan 60 peratus pengundi Melayu di sana (Parlimen Hulu Selangor). Ketika itu, kita tak peduli kerana kita beri (MIC bertanding) berdasarkan kuota.

"Kita harap komponen BN faham tentang perkara ini," katanya.

Malah, beliau berkata, Umno juga sudah membuat keputusan untuk bertanding di enam kerusi majoriti Melayu yang sebelum ini ditandingi Gerakan di Pulau Pinang.

"Gerakan telah keluar BN dan dari segi keputusan ia lebih menguntungkan kita di kawasan sepatutnya kita menang. Jadi mungkin selepas ini, Umno boleh berbincang dengan parti komponen untuk meletakkan calon," katanya.