DUNGUN - Pas belum membuat keputusan untuk meletakkan calon bagi menentang Presien PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, buat masa sekarang parti itu belum membuat sebarang keputusan atau pendirian mengenai calon yang akan bertanding.

“Bila dia (Anwar) umum bertanding dan tempat bertanding, baharulah kita akan ambil pendekatan.

“Memang salah satu faktor kita meletakkan calon adalah selepas mengetahui di mana Anwar bertanding,” katanya ketika sidang media pelancaran Pasar Raya Wakaf pertama Pas di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pas tidak gentar dengan Anwar atau sesiapa sahaja yang bertanding kerana mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.

“Kita tidak risau dengan siapa kita bertanding kerana kita bersedia di mana tempat munasabah untuk bertanding. Kita tidak risau siapa kerana kita pernah menang, pernah kalah, pernah tinggal satu kerusi dan pernah memerintah negeri.

“Dengan siapa sama ada Umno atau parti-parti lain yang kita akan bincang juga akan ditentukan selepas kita tau di mana dia bertanding,” katanya.

Spekulasi menyatakan bahawa PRK akan meletakkan Anwar bertanding di Pandan tetapi pendapat itu ditolak oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Kerusi mana yang sepatutnya dipertandingkan Anwar dijangka akan diumumkan sekembalinya beliau dari Hong Kong esok.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukan di Pandan, tunggu saya umum esok']