SHAH ALAM - Calon Bebas PRK Dun Sungai Kandis, K Murthy menegaskan keputusannya bertanding dalam PRK itu sebagai cara untuk memberi balik kepada rakyat Selangor.

Pesara kerajaan itu mengambil inspirasi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diberi peluang kedua pada usia lebih 90 tahun.

"Saya nak masuk Dewan (Undangan Negeri) untuk menabur bakti balik.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Tiga penjuru di  PRK Sungai Kandis]

"Tun (Mahathir) diberi peluang kedua...saya (juga mahu) diberi peluang kedua untuk menabur bakti sekiranya pengundi Dun Sungai Kandis pilih saya," katanya kepada pemberita.

Pengumuman pencalonan Murthy agak mengejutkan kerana tidak digembar-gembur sehingga namanya disebut oleh Pegawai Pengurus PRK Dun Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad sebagai calon.

Menurut Murthy keputusan itu hanya dibuat pagi semalam.

"Saya boleh melawan tak ada masalah. Boleh. Saya putuskan pagi semalam. Saya memang asal Klang dan anak Selangor," katanya.

Namun beliau enggan menjawab alasan tindakannya mencalonkan diri.

"(Kenapa bertanding?)Tak payah jawab soalan ini. Saya hanya merancang Tuhan yang menentukan.

"Ini keputusan saya sendiri tanpa paksaan mana-mana. Saya dapat wahyu dari Tuhan saya, saya Hindu," katanya.