KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu menegaskan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjadikan Pas sebagai kambing hitam di atas apa yang sedang berlaku kepada politik tanah air hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Terengganu, Satiful Bahari Mamat berkata, semua orang tahu tentang sejarah dan meminta Dr Mahathir tidak menyelewengkan sejarah supaya generasi baharu dapat memahami sejarah dengan betul.

Menurut Satiful, Pas sentiasa menganjurkan perpaduan sejak dari dulu lagi kerana pernah 'bergabung' dengan semua.

"Semangat 46 mari (datang) bergabung dengan Pas, Tun M keluar Umno pun mari kepada Pas. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sama, mari kepada Pas. Selepas itu Semangat 46 berpecah kerana siapa, PKR wujud sebab siapa.

"Dia (Mahathir) kena tengok diri sendiri kenapa terjadinya perpecahan dan jangan dia 'menkambinghitamkan' Pas," katanya kepada Sinar Harian.

Satiful berkata, Mahathir perlu memberi penjelasan sejarah sebenar kepada generasi sekarang dan tidak sesekali menampakkan dendam di dalam hati.

"Sebenarnya Pas adalah satu-satunya parti yang tidak pernah tunduk kepada kehendak Tun M dan dia perlu menghormati nilai-nilai yang ada dalam negara demokrasi.

"Pas sebuah parti berdaftar, bukannya tidak berdaftar. Pas dari dulu menjadi mangsa, dipenjara, buang daerah, diskriminasi dan sebagainya, semua orang Pas," katanya.

Sebelum itu, Mahathir berkata, Pas adalah parti yang membawa perpecahan kepada orang Melayu dan bukannya agama Islam.