SITIAWAN - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Pengurusan Pemilihan Negeri (PPN) PKR Perak digesa menukar lokasi pemilihan Cabang PKR Lumut demi keselesaan pengundinya.

Calon Naib Ketua Cabang PKR Lumut, M Bohaneshawaran berkata, kedudukan Dewan Himpunan Cina di Sitiawan terletak di kawasan sempit serta sibuk tidak sesuai dijadikan lokasi mengundi bagi pemilihan cabang.

“Saya dan ahli PKR yang lain meminta JPP dan PPN tukar tempat mengundi di dewan ini ke tempat yang lebih selesa dan luas kerana jalan terlalu sempit selain sibuk kerana dikelilingi kedai makan.

“Kita undi hari Ahad dan pagi tadi penuh kereta dan orang datang mahu makan pagi, macam mana kalau hari undi pasti akan lebih sesak dan ahli akan marah,” katanya ketika ditemui media di dewan berkenaan, di sini, hari ini.

Menurut Bohaneshawaran dewan tersebut pernah digunakan bagi pemilihan cabang pada 2014 dan suasana pengundian ketika itu tidak terurus dan kelam kabut.

“Masa itu ahli tidak ramai seperti pemilihan kali ini apabila seramai 4,448 ahli akan turun mengundi bagi pemilihan cabang dan sudah pasti ia akan menjadi sesak jika tidak diuruskan dengan baik.

“Ditambah pula pertandingan empat penjuru bagi ketua cabang, lima penjuru timbalan ketua cabang, empat penjuru naib ketua cabang dan 42 calon bagi 15 jawatankuasa, sudah pasti ia memerlukan lokasi yang selesa dan mudah diurus,” katanya.

Tambahnya lagi, kedudukan dewan itu di bawah Parlimen Sitiawan juga tidak sesuai dijadikan lokasi pemilihan dan dicadangkan lokasi ditukar di Seri Manjung kerana mudah bagi ahli dari Lekir dan Pulau Pangkor kerana jarak tidak terlalu jauh berbanding sekarang.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat beberapa ahli PKR hadir ke Dewan Himpunan Cina, Sitiawan bagi menunaikan tanggungjawab pemilihan parti tanpa mengetahui ia ditunda.

Menurut Bohaneshawaran hampir 200 ahli termasuk warga emas hadir seawal jam 8 pagi untuk mengundi kerana tidak mengetahui ia ditunda.