IPOH – Sebarang usaha daripada mana-mana pihak dengan menjadi ‘tukang cucuk’ kepada parti komponen BN di Perak tidak akan berjaya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN di negeri itu mengambil pendekatan untuk berbincang bersama semua parti komponen dalam sebarang perkara berbangkit termasuk berkaitan pengagihan jawatan Ahli Majlis di peringkat daerah.

“Jangan ada mana-mana pihak yang suka-suka nak cucuk. Cara kita mudah, duduk bincang apa juga perkara dan kadang kala kita buat secara tertutup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Parti Barisan India Se-Malaysia (IPF) di sini, hari ini.

Selain itu, Zambry berkata BN negeri Perak telah membuat segala persediaan bagi menghadapi PRU14 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, beberapa parti komponen dan ‘Friends of BN’ sedang giat mengadakan mesyuarat serta persiapan jentera untuk PRU tersebut demi memastikan BN kekal berkuasa di Perak.

“Seperti kita lihat hari ini, IPF sudah mula mengadakan mesyuarat perwakilan mereka dan walaupun mereka menjadi rakan kita namun, kesetiaan kepada BN tidak pernah luntur.

“Inilah sumber kekuatan kita di mana semua parti komponen dan penyokong bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan negeri ini akan terus berada dalam genggaman kita”, katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Presiden IPF, Datuk M. Sambanthan berkata walaupun belum mendapat restu untuk bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atas tiket BN, namun parti itu tetap memberi sokongan kepada BN.

“Dapat atau tidak dapat (bertanding) kita tetap akan memberi sokongan. Walaupun  ada tawaran dari pembangkang kita tetap bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.