IPOH - Meringankan kos sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan adalah antara tujuh tekad utama yang ditekankan BN Perak dalam Manifesto PRU14 yang dilancarkan, hari ini.

Bertemakan Perak Negeriku, BN Pilihanku, enam lagi teras adalah mengukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan pelaburan; perumahan; mengupayakan modal insan dengan menjamin peluang pendidikan; menjamin kesejahteraan, keselamatan dan keamanan; kelestarian dan pembangunan mapan serta menjadikan Perak sebagai destinasi antarabangsa.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejak tiga tahun lalu, kerjaaan negeri telah menggerakkan pelbagai usaha dalam membantu mengurangkan kesusahan penduduk dengan menyediakan kedai bergerak Amanjaya di kawasan-kawasan pedalaman.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengupayakan penduduk, tetapi turut mendapat pengiktirafan dan dijadikan contoh negeri-negeri lain.

"Kita tahu apa yang rakyat rasa, kita lihat keadaan dan fikir bagaimana untuk mengurangkan kepayahan ini, kerana itu kita sediakan lori-lori bergerak dan masuk ke kawasan kampung-kampung bagi menjual barang keperluan dengan harga jauh lebih murah.

"Sekarang ini, negeri lain ikut cara kita, kerajaan Persekutuan juga lihat bagaimana cara kita laksanakan," katanya.

Antara yang terkandung dalam teras berkenaan adalah mewujudkan pusat pengedaran Kedai Bergerak Amanjaya di setiap daerah juga jaringan majikan pintar dengan tawaran kerja oleh 1,000 syarikat swasta melalui program brain gain iaitu menjana peluang pekerjaan di negeri sendiri.

Zambry berkata, sejak lima tahun lalu, lebih 40,000 peluang pekerjaan telah dijana di negeri ini untuk diisi anak-anak Perak pelbagai peringkat kelulusan akademik.

BN Perak turut menawarkan penambahan 35,000 rumah mampu milik bagi tempoh 2018 hingga 2023 dan menaikkan pemberian air percuma kepada golongan miskin daripada 20 ke 30 meter padu, sementara 20 kepada 90 meter padu untuk rumah ibadat.

Selain tujuh tekad utama, BN Perak turut menawarkan tawaran kepada tujuh kumpulan utama iaitu wanita, orang muda Perak, orang kita, orang kurang upaya (OKU), orang kampung, orang taman dan warga emas.

Antara tawaran kepada kumpulan belia adalah penyertaan 30 peratus  dalam struktur pentadbiran dan penyediaan lima peratus kuota perumahan yang dibangunkan oleh kerjaaan untuk anak muda negeri ini.

BN turut memperkenalkan program perintis khusus untuk belia Orang Asli serta menjanjikan tiada kenaikan cukai tanah di kampung tradisional, kampung baru, rumah mampu milik serta rumah kos rendah.

Zambry berkata, kandungan manifesto yang ditawarkan merupakan strategi pembangunan bagi menjamin pertumbuhan negeri Perak pada masa akan datang.

Menurutnya, ia digariskan bukan hanya sekadar satu janji, namun berlandaskan pengalaman mentadbir juga kemampuan  kerajaan untuk melaksanakannya.

"Hampir 75 peratus kandungan manifesto kita merupakan pelaksanaan baru dan kita juga meneruskan kesinambungan pelan pembangunan yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Tujuh tekad BN

1. Mengukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan pelaburan.

2. Meringankan kos sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan.

3. Perumahan

4. Mengupayakan modal insan dengan menjamin peluang pendidikan.

5. Menjamin kesejahteraan, keselamatan dan keamanan.

6. Kelestarian dan pembangunan mapan.

7. Perak sebagai destinasi antarabangsa.

Tujuh keutamaan

1. Wanita

2. Anak muda Perak

3. Orang kita

4. Orang kurang upaya

5. Orang kampung

6. Orang taman

7. Warga emas