SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencadangkan agar kerajaan Pulau Pinang menjalankan siasatan terperinci supaya tidak wujud sebarang unsur penyelewengan.

Abdul Hadi berkata, siasatan tersebut termasuklah mengambil kira dari sudut pemberian tender dan pelaksanaan projek.

Menurutnya, tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Pulau Pinang berkenaan sangat menyedihkan.

“Projek ini dijalankan tanpa menghiraukan aspek keselamatan dan alam sekitar demi mengaut keuntungan.

“Siasatan terperinci perlu diambil kerajaan negeri (Pulau Pinang) dari sudut pemberian tender dan perlaksanaan projek supaya tidak wujud sebarang unsur penyelewengan,” katanya dalam laman Twitter peribadinya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: 10 dipercayai tertimbus]

Pada Jumaat lalu, maklumat awal menyatakan sekurang-kurangnya 10 mangsa dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Paya Terubong.

Jurucakap bomba berkata, kejadian pada jam 1.56 petang berlaku di tapak pembinaan jalan raya berkembar dari arah Paya Terubong menghala ke Relau.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Mayat bawah kontena]

Hari ini, seorang lagi mangsa runtuhan tanah di tapak pembinaan jalan berkembar Paya Terubong dijumpai pasukan penyelamatan.

Mangsa Mohamad Uzzal, 33, yang sebelum ini dikenali sebagai Ujal dan berasal dari Bangladesh ditemukan berada di bawah salah satu kontena kira-kira jam 5 petang tadi.

Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia adalah sembilan orang dan empat lagi cedera.

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari keempat kini menumpukan kepada usaha mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.