Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin

BALIK PULAU - Pembangkang menggunakan pelbagai helah untuk memerangkap Barisan Nasional (BN) agar mengikut rentaknya, terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN tidak akan terpengaruh dengan tipu daya pembangkang kerana ia mempunyai strategi tersendiri untuk menghadapi PRU13.

"Itu adalah perangkap pembangkang. Saya tidak mahu komen. Kalau dia kata dia tahu strategi kita, kita pun tahu pasal dia. "Tetapi apa yang lebih penting ialah kita tahu mengenai diri kita sendiri.

"Itu sudah cukup untuk kita bergerak dan menjayakan strategi yang dirancang," katanya kepada media selepas menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Permatang Tepi, Simpang Empat di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai strategi BN untuk merampas Pulau Pinang dengan menawan 11 kerusi tambahan untuk Dun di samping mengekalkan 11 kerusi yang dimenangi Umno pada PRU12.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada orang dalam BN, strategi itu akan membolehkan BN berkuasa semula di negeri ini dalam PRU13.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Pusat berkata, BN mempunyai perancangan tersendiri dan akan menggerakkan jenteranya untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar menjelang PRU13.

"Jentera BN termasuk di Pulau Pinang bertambah baik tetapi mereka diminta meningkatkan lagi usaha untuk memastikan sokongan rakyat terus meningkat," katanya.

Mengenai perjumpaan dengan pemimpin BN dan Umno Pulau Pinang pada sebelah pagi sempena lawatan kerjanya ke negeri ini hari ini, beliau berkata, ia lebih kepada melibat persiapan mereka untuk PRU.

"Pemimpin BN begitu bersemangat, mempunyai semangat kerja tinggi dan sudah mengatur pelbagai strategi agar jenteranya bertambah baik.

"Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah meletakkan sasaran indeks prestasi utama (KPI) setiap pemimpin Umno dan BN sama ada di peringkat pusat atau negeri.

"Jadi mereka perlu mencapai sasaran itu melalui perancangan rapi untuk menjamin kejayaan parti itu dalam PRU akan datang pilihan raya dengan menguasai kerusi parlimen dan Dun," katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.