• karpal-singh Karpal Singh
1 /

SHAH ALAM - Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan beliau konsisten menolak isu hudud dan penubuhan negara Islam seperti dilaungkan Pas kerana mahu jaga kepentingan, prinsip dan akar umbi parti.

Menurutnya, tindakan pemimpin-pemimpin DAP lain yang menutup mulut berkenaan isu tersebut boleh mengundang padah kerana kesilapan strategi sendiri.

Katanya, Pas sebagai sebuah parti yang berorientasikan Islam memang memperjuangkan Islam sebagai dasar parti, namun tegasnya, maklum balas harus dikeluarkan berkenaan hudud kepada bukan Islam.

“Mungkin pemimpin (DAP) lain melihat gambaran yang lebih besar dalam isu ini (hudud), tetapi apa guna jika tidak jaga diri sendiri dan mengalami kekalahan besar. Apa yang akan berlaku selepas itu? Seperti yang saya katakan, kita mesti menjaga akar umbi dahulu,” katanya dalam satu wawancara khas.

Apabila ditanya tentang Pakatan Rakyat (PR) harus bertindak dan buat keputusan bersama-sama terlebih dahulu sebelum berfikir menawan Putrajaya untuk keadilan rakyat, Karpal bersetuju dengan perkara itu.

“Ya, itu adalah hujah yang baik, ia satu kewajaran. Rakyat mengharapkan kita sentiasa konsisten.

“DAP tidak patut lupa apa yang telah diperkatakan, hanya kerana kita memperoleh pencapaian baik pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan calon PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Karpal menyifatkan kali ini tiada lagi ‘kerusi selamat’ kepada mana-mana pihak.

Selain itu, Karpal turut berpendapat bahawa sistem demokrasi bukanlah sistem terbaik jika dikaji sedalam-dalamnya, malah mengelarnya sebagai ‘sistem yang berbahaya’.

“Tidak seperti di England, di negara kita pengundi memilih berdasarkan kepada sentimen, ia tidak baik untuk negara,” katanya.

Sementara itu, ditanya jika Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerajaan pusat, Karpal tetap memilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

“Walaupun dipenuhi dengan beban, Najib telah mansuh beberapa akta tetapi Akta Hasutan masih kekal. Jika Najib ikhlas dengan reformasi beliau, beliau akan berjaya buang bebanan itu. Beliau akan lakukannya dengan baik,” katanya. - MalayMail