KOTA BHARU - Tindakan bekas Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti tepat dan dilakukan bagi mana-mana pemimpin yang waras.

Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa berkata, justeru PH perlu membuka laluan kepada ahli parlimen bukan PH yang boleh dikategorikan positif serentak dengan langkah membanteras wakil rakyat terbukti merosakkan negara.

“Jika PH dapat menggerakkan konsolidasi nasional berpaksikan sokongan kepada usaha reform dan membangunkan semula negara dibawa kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan PH sekarang, ia boleh mengukuhkan lagi negara dan mempercepat pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Husam berkata, serentak dengan itu, pembersihan ke atas salah laku pentadbiran yang lalu juga perlu digiatkan untuk meyakinkan rakyat bahawa PH menuju laluan yang betul dalam memenuhi aspirasi rakyat.

Husam berharap lebih ramai ahli parlimen Umno lain mengikuti jejak Mustapa.

“Selaku Pengerusi PH Kelantan, saya bersikap terbuka untuk melihat Mustafa dapat bersama selepas ‘cuti iddah’ beliau.

“Dalam rangka ini, saya melihat langkah Mustapa perlu disambut positif,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno ]