SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan bahawa beliau ada sebab mengapa tidak bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Katanya, meskipun mendapat sokongan agar beliau bertanding jawatan tertinggi parti itu, namun beliau menolak untuk berbuat demikian.

Jelasnya, beliau 'sedar diri' dan jawatan mana yang patut beliau tandingi.

"Nak tahu sebab tak tawar diri bertanding sebagai presiden itu payah nak jawab.

"Saya ini orang Negeri Sembilan orang nogori ini beradab, kita naik bertangguh, tak boleh melompat-lompat terus, kalau lompat terus terbenam terus jatuh nanti.

"Biarlah berperingkat," katanya ketika ditanya oleh peserta wacana Sinar Harian kali ke-64, mengapa beliau tidak menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat hargai sokongan perwakilan]

Nama Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat menjadi bualan netizen selepas PRU14 apabila ramai mencadangkan namanya untuk menerajui kepimpinan parti selepas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melepaskan jawatan.

Pada pemilihan Umno baru-baru ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menewaskan bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau akan memewang jawatan nombor dua dalam parti itu bagi penggal 2018 - 2021.

Jelasnya, beliau hanya menawarkan diri untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno atas sebab ketiadaan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk 'masuk gelanggang'.

"Saya tawarkan diri sebagai timbalan sebab saya dikhabarkan Hishamuddin tak bertanding ada tempat kosong jadi saya tandinglah," katanya.