SEREMBAN - Tindakan dua anggota Parlimen daripada Umno yang mengumumkan keluar daripada parti itu amat mendukacitakan, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kedua-dua mereka anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman merupakan tokoh yang disegani, berkebolehan dan terbukti keupayaan dalam memimpin serta berkhidmat.

"Jasa dan sumbangan mereka kepada Umno dan negara adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan dan kita amat berterima kasih.

"Namun begitu, kini mereka memilih haluan berbeza dan memutuskan untuk meninggalkan Umno.

"Saya yakin ini adalah satu keputusan yang tidak mudah kepada semua. Kepimpinan Umno khususnya Majlis Kerja Tertinggi amat prihatin dengan perkembangan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubunga Umno Kelatan mengumumkan keluar parti manakala Anifah yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis berbuat demikian hari ini.

Mohamad turut mengakui sejak empat bulan lepas, proses membaikpulih dan menetapkan haluan yang jelas untuk parti berjalan dengan perlahan dan tidak radikal seperti yang diharapkan semua pihak.

"Perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan Umno tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya.

"Saya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan.

"Saya berharap agar semua anggota dan kepimpinan Umno terus memberi sokongan penuh kepada parti," katanya.