IPOH - Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menggunakan paragliding atau drone sempena penamaan calon mahupun pada hari pengundian kelak.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penggunaan paragliding atau drone akan dikawal sepenuhnya oleh pasukan kawalan udara.

“Memang tak boleh. Penggunaan paragliding atau drone memang salah. Kalau nak juga, kena ada kebenaran daripada pihak  Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Lagi pun ini mungkin melibatkan ancaman lain, seperti keselamatan orang ramai atau pun harta benda yang lain,” katanya.

Zulkifli berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Amanat dan Perjumpaan Pengarah KDNKA PDRM bersama Petugas PRU14 di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis, Ipoh, pagi tadi.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata tidak ada istilah hotspot atau kawasan panas pada musim pilihan raya kali ini sebagaimana yang diperkatakan dalam kalangan orang termasuk di media sosial pada ketika ini.

Katanya, polis mahu membuang persepsi berkenaan daripada masyarakat dan berharap ia tidak lagi diperkatakan.

“Sebenarnya taka da tempat tak boleh dilalui. Kita tak mahu ada tanggapan berlaku. Kalau ada hotspot pun biar hanya polis dan kalau betul kita akan ambil tindakan.

“Semua kawasan selamat dilalui dan kita ada cukup anggota. Jangan risau dengan hotspot ini. Apa yang penting kita nak pastikan orang ramai dapat keluar mengundi dengan selamat,” katanya l