SHAH ALAM - PKR memberi gambaran tiga nama termasuk calon 'recycle' dan kemungkinan terdapat calon wanita dikenal pasti berpotensi diangkat sebagai calon bagi PRK Dun Sungai Kandis.

Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, bagaimana perbincangan lanjut akan dilaksanakan menerusi mesyuarat biro politik yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, seperti mana proses biasa, kesemua nama berkenaan akan dihantar ke peringkat pusat sebelum diputuskan sebelum penamaan calon.

"Kita tidak mendiskriminasi gender untuk meletakkan calon.

"Keadilan banyak pimpinan yang ada kelayakan dan mereka juga mahu menawarkan khidmat kepada parti dan rakyat,"katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Selangor,hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan terdapat tiga nama dari PKR yang dilihat berpeluang atau mempunyai kelayakan untuk dijadikan calon bagi PRK Sungai Kandis.

Desas-desus itu mengatakan tiga nama yang disebut-sebut itu adalah Bekas Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari serta dua calon muda iaitu Naib Ketua AMK Malaysia, Mohd Radzlan Jalaluddin serta Mikael Eskandar.

Ditanya sama terdapat senarai calon yang merujuk kepada laporan Sinar Harian, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu, bagaimanapun tidak memberi sebarang pengesahan.

"Saya tidak pernah merujuk kepada spekulasi tetapi melalui pimpinan yang akan bincang. Kita kena menghormati proses dengar akar umbi, cabang, negeri dan kita angkat kepada pusat dan Pusat akan buat keputusan dan kita akan buat keputusan.

"Calonnya tentulah pemimpin yang bersih, jujur dan berjiwa rakyat. PKR dan Harapan percaya kerusi Sg Kandis dapat dipertahankan, berdasarkan rekod cemerlang Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei, "katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengesahkan, senarai nama calon yang dikenal pasti merupakan gabungan muka lama dan muka baru.

Ujarnya, nama-nama berkenaan akan dimuktamadkan dan dijangka dihantar ke pusat selewat-lewatnya esok.

"Perbincangan dengan pimpinan negeri masih berjalan. Senarai nama akan dihantar ke sama ada hari ini atau esok,"katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PKR juga bersedia hadapi sebarang kemungkinan sekiranya wujud kerjasama antara BN dan Pas.

"Politik Malaysia bertambah dinamik. PRU lepas pun dah ada persefahaman tertentu. Sebagai sebuah parti yang menang pada PRU lepas kita harus lebih kuat dan padu. Kita kena bersedia tidak kira tiga penjuru mahupun satu lawan satu,"katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan 21 Julai sebagai tarikh penamaan calon dan 4 Ogos untuk hari mengundi.