GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikan pejabatnya diserbu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam seperti yang perkatakan beberapa pihak berhubung perkara tersebut.

Guan Eng turut menafikan bahawa Pejabat Ketua Menteri yang terletak di tingkat 28, Komtar itu adalah salah satu daripada 12 lokasi yang diserbu SPRM untuk siasatan berhubung pembinaan terowong dasar laut.

"Ada laporan (media) tulis pejabat saya ditutup semalam. Mana ada tutup. Saya masih bertugas sehingga lewat petang untuk perbincangan bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dan penasihat strategik saya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Semalam (kelmarin) juga Pejabat Ketua Menteri tidak (langsung) didatangi atau diserbu pegawai penyiasat SPRM. Jangan cuba burukkan nama saya, pejabat saya dan kerajaan negeri.

"Tak kan perbincangan pasal Bank Makanan Mutiara kita nak adakan secara terbuka?" katanya kepada media tadi.

Semalam, dalam kenyataan rasminya, SPRM mengesahkan telah merakam percakapan kira-kira 10 orang bagi membantu siasatan kes tersebut.

Selain itu, SPRM juga ke 12 lokasi di negeri ini dan Kuala Lumpur termasuk agensi kerajaan serta syarikat swasta bagi mengambil dokumen dan merakam percakapan saksi-saksi berhubung projek terowong dasar laut Kerajaan Pulau Pinang.