PETALING JAYA - Pas menafikan kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta naib presiden parti itu, Dr Shaharuddin Badaruddin ke kediaman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru adalah bagi membincangkan kerjasama politik.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kunjungan itu hanyalah bertujuan untuk menziarahi Abdul Hadi selepas menerima rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN) ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Pada awalnya kunjungan itu adalah inisiatif Mohamed Azmin sendiri dan selepas itu kita juga dimaklumkan bahawa Wan Azizah dan Shaharuddin turut serta. Ziarah orang sakit ni tak banyak bincang.

"Siapa nak mari ziarah, kita terbukalah. Najib pun datang ziarah, siapa mahu datang ziarah, boleh datang," jelasnya pada sidang media di Program Munaqasyah, hari ini.

Sabtu lalu,  Abdul Hadi menerusi laman Facebook rasminya telah berkongsi gambar pertemuan itu tanpa dinyatakan apakah tujuan pertemuan itu diadakan dan hasil pertemuan tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi dikunjungi pimpinan tertinggi PKR]

Perkara itu sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa PKR masih mahu mengadakan kerjasama dengan Pas.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa Pas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan PKR dan DAP selaras dengan polisi parti yang telah ditetapkan dalam Majlis Syura Ulamak pada Mei lalu.

Bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa Pas masih terbuka untuk mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak berhubung perkara yang tidak melibatkan kerjasama politik.

"Kita terbuka dan tidak tutup pintu rundingan malah kita 'engage' dengan semua pihak. Cuma kita berpegang pada polisi parti yang telah ditetapkan.

"Dalam konteks kerjasama politik, memang tidak ada. Politik kita ini bukanlah politik budak-budak tapi lebih matang dan ini adalah budaya yang Pas mahu bawa pada rakyat," katanya pada sidang media di Program Munaqasyah, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini Pas sedang memberi fokus terhadap kemampuan Gagasan Sejahtera untuk bertanding di PRU14 akan datang.

"Soal rundingan itu kita sentiasa terbuka tapi bagi Pas sekarang kita fokus menggerakkan jentera dan akan melihat kekuatan serta kemampuan kita di berapa kerusi yang diyakini boleh mencapai kemenangan.

"Lagi pun pesuruhjaya parti juga telah memberi arahan kepada semua Dewan Undangan Negeri (Dun) kita untuk bersedia mengemas kini jentera dan gerak kerja bagi menghadapi PRU nanti," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERUS - Pas kan terus beristiqamah menegakkan syiar Islam di negara ini meskipun ada sebilangan pimpinannya meninggalkan parti itu dan memilih haluan berbeza bersama parti pembangkang yang lain, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
  • KUALA NERUS - Pas sedang berhadapan era kebangkitan berikutan parti itu semakin menarik minat lebih ramai golongan muda kepadanya.
  • KUALA NERUS - Tindakan PKR dan DAP menyingkirkan Pas bukan satu kerugian kepada parti itu, sebaliknya kedua-dua parti tersebut disifatkan menyingkirkan diri sendiri.
  • SHAH ALAM - Kesediaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat semula tragedi Memali bakal beri kesan kepada parti itu.
  • SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini mengumumkan untuk bertanding sekurang-kurangnya bagi 42 kerusi Dun Selangor pada PRU14 termasuk kerusi yang disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Ismail (Dun Kajang) dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Dun Bukit Antarabangsa).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.