SABAK BERNAM - Segala perancangan dan program bantuan yang dilaksanakan sejak penubuhan Umno tidak boleh ditandingi mana-mana parti termasuk sebuah parti baharu yang kononnya ingin menggantikan Umno.

Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia (Bikum), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Umno sebuah parti yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat terutama dalam soal merancang masa depan yang lebih baik di negara ini.

"Semua bantuan ini tidak lain datangnya daripada perjuangan parti ini, tapi dilaksanakan oleh agensi atau jabatan kerajaan mahu pun di peringkat kementerian," katanya pada Program Peduli Wanita Muda 'Umno Peduli Rakyat' di Astaka Rakyat Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Sabak Bernam, Bagan Nakhoda Omar, di sini.

Shamsul Anuar berkata, kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhan yang kononnya hendak memperjuangkan soal kepentingan Melayu dan Bumiputera serta memelihara agama Islam di samping berhasrat menjadikan negara ini lebih baik.

"Semasa mereka bersidang (Mesyuarat Agung Tahunan) baru-baru ini, daripada pagi sampai ke petang tak ada satu perkara pun atau agenda yang mereka rancang untuk kepentingan Melayu dan Bumiputera, melainkan sepanjang ucapan semuanya keji dan umpatan ingin menjatuhkan (Perdana Menteri) Datuk Seri (Mohd) Najib (Razak).

"Mana perancangan untuk orang Melayu dan generasi muda? Sebab itu, percayalah kita berada dalam parti yang tepat.

"Selain daripada menjaga rakyat, kita menyedia dan membuat perancangan cukup besar, malah kita ini adalah parti yang bukan hanya menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera sahaja, tetapi kita adalah sebuah parti yang menjaga kepentingan kaum-kaum lain," katanya.

Ujar beliau, Umno akan meneruskan program membantu rakyat menerusi program turun padang di negeri ini.

"Minggu ini kita pergi ke beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Tanjong Karang, kemudian kita ke Hulu Selangor.

"Ini sebahagian daripada siri jelajah Umno membantu rakyat dan kita pelbagaikan program dan pengisian.

"Hari ini kita beri sumbangan kepada 200 ibu muda dan juga menyediakan 1, 000 kumpulan wanita muda yang disusun Umno Bahagian Sabak Bernam.

"Program ini merupakan bahagian ke-43 yang disinggahi dan kita akan menjelajah ke lebih 70 kawasan seluruh negara secara berterusan sebelum pilihan raya ini," katanya.