ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk DAP Kedah mengemukakan senarai calon parti itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, sehingga kini, pihaknya juga tidak berhasrat menyerahkan senarai nama calon seperti dilakukan BN sebelum ini.

"Kita mengikut DAP Pusat yang tidak menghantar nama calon itu.Lagipun, kita tidak perlu ikut apa yang dilakukan parti politik lain dalam soal calon.

"Kita percaya calon pilihan parti untuk bertanding dalam PRU 14. Setiap parti memiliki kaedah tapisan calon tersendiri," katanya ketika ditemui dalam Program Kacau Bubur Asyura di Taman PKNK, di sini, hari ini.

Katanya, dia yakin DAP Pusat memilih calon terbaik dan menepati kelayakan, seperti berintegriti tinggi untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti.

"Buat masa ini, kita sudah ada nama calon DAP Kedah, bagaimanapun ia belum disenarai pendek. Bagaimanapun, semua ditentu dan diputuskan DAP Pusat," katanya.