KOTA BHARU - Kekalahan Nik Mohamad Abduh dalam merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas Pengkalan Chepa tidak boleh dikaitkan dengan penolakan legasi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebaliknya, perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks berbeza, iaitu kawasan tersebut memerlukan seorang pemimpin yang berada di kawasan sepenuh masa.

“Nik Abduh merupakan pemimpin pusat (Ketua Pemuda Pusat), Ahli Parlimen Pasir Mas. Perwakilan di Pengkalan Chepa mahu kepada mereka yang boleh tumpu sepenuh perhatian di sini.

“Saya sendiri sebagai Yang Dipertua Yang Dipertua kawasan itu pun pun sibuk juga. Tugas sebagai Ketua Pemuda sangat banyak, kita akui perkara itu,” katanya kepada media di sini semalam.

Beliau yang ditemui selepas majlis perasmian pembukaan persidangan Dun Kelantan di sini semalam diminta mengulas mengenai kekalahan Nik Abduh di kawasan tersebut yang dikaitkan dengan penolakan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz.

[ARTIKEL BERKAITAN: Nik Abduh tewas di Pengkalan Chepa]

Penyandangnya, Dr Izani Husin mendapat 209 undi berbanding Nik Abduh yang memperoleh 37 undi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Pas akan ambil alih kerusi PKR jika hubungan tahaluf siyasi parti itu berakhir muktamar nanti, beliau berkata, sebarang keputusan belum dibuat namun mengakui perbincangan lanjut perlu ada berhubung pembahagian kerusi tersebut.

“Kita akan bergerak mengikut keputusanlah, tapi kalau muktamar kata kekal, kita sepertimana biasalah.  

“Cuma kerusi itu nanti akan ada perbincangan baru, jika tahaluf ini di teruskan. Kalau kita putus, bertanding semualah kerusi itu,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat sedikit bercanggah mengenai keputusan kerjasama dengan Bersatu, beliau berkata, kedua-dua kenyataan tersebut tepat dan tidak timbul isu kekeliruan.

“Dua-dua betul cuma keputusan muktamad adalah apabila dibawa ke Jawatankuasa Pas Pusat. 

“Kita sudah bincang dengan Pas Pusat, perbincangan kita dengan Bersatu ini selagi Bersatu tidak masuk Pakatan Harapan, tetapi kalau bersama (Pakatan), segala perbincangan akan terhenti, itu memang pendirian Pas Pusat, jadi bagi saya tiada percanggahan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan tiga anggota exco negeri Selangor daripada Pas, sebagai 'anak jantan', kerana tidak tunduk dengan desakan pihak tertentu supaya mereka meletak jawatan.
  • KOTA BHARU - Kelantan tidak menghalang sekiranya lantikan politik ahli PKR negeri ini mahu meletakkan jawatan mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.