SHAH ALAM - Tiada arahan persediaan bagi menghadapi kemungkinan PRK dikeluarkan di peringkat negeri buat masa ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, arahan persediaan hanya dikeluarkan Yang Dipertua Pas kawasan Pandan dan Petaling Jaya sahaja.

“Umpamanya di Pandan, Datuk Iskandar Abdul Samad mengeluarkan arahan persediaan itu atas kapasiti beliau selaku Yang Dipertua kawasan dan ditujukan kepada ahli-ahli Pas di Pandan berdasarkan pelbagai maklumat dan perkembangan semasa. Pimpinan di Petaling Jaya juga begitu.

“Tapi arahan dalaman mengenai perkara ini tiada di peringkat negeri lagi,” katanya mengulas berhubung penyebaran WhatsApp oleh Iskandar yang mengarahkan seluruh jentera pilihan raya Pas di semua peringkat kawasan Pandan supaya bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan PRK di parlimen itu dalam masa terdekat.

Roslan Shahir berkata, bagaimanapun Pas Selangor sentiasa mengikuti perkembangan dan bersedia untuk bertanding dan meletakkan calon sekiranya berlaku PRK dan diarahkan pucuk pimpinan.

“Kita akan ikuti perkembangan dan membuat keputusan terbaik bila tiba masanya.

“Namun, Pas Selangor merasakan PRK yang diadakan semata-mata untuk memenuhi agenda sesebuah parti politik seperti ini adalah satu pembaziran dan sangat tidak sihat terutama bila kerajaan sendiri beria-ia mahu berjimat cermat,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Iskandar yang juga Naib Presiden Pas mengeluarkan arahan persediaan PRK kepada ahli-ahlinya di Pandan dipercayai merujuk kepada kemungkinan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pengumuman mengenai kerusi parlimen yang bakal ditandingi Anwar akan dibuat sekembalinya Presiden PKR itu dari Hong Kong esok.