SABAK BERNAM - Datuk Seri Jamal Md Yunos berterima kasih kepada Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar kerana memilih beliau sebagai calon Ketua Pemuda Umno.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, sayap peringkat bahagian itu memberi majoriti besar kepada beliau untuk dipilih pada pemilihan sayap parti itu.

"Ini satu langkah dan petanda awal cukup baik untuk saya.

"Terima kasih, saya menang di Bahagian Sungai Besar," katanya menerusi satu rakaman video yang dihantar seorang ahlinya dalam aplikasi WhatsApp kumpulan media.

Pada mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar yang diadakan di Sekin Hotel itu, Jamal mendapat 152 undi menewaskan lapan lagi pencabarnya.

Selain Jamal, Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki pula meraih sebanyak 32 undi dan Abdul Razak Mohamed Yusof mendapat tujuh undi.

Selain itu, dua undi masing-masing diperoleh Imbran Afham Armen dan Mohd Nor Izzat Mohd Johari.

Sementara itu, tiga lagi calon tidak menerima sebarang undi daripada perwakilan iaitu, Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun, Wan Md Hazlin Agly Wan Hassan dan Syed Rosli Syed Harman.