SHAH ALAM - PKR menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pas untuk menentukan hala tuju kerjasama politik PKR-Pas susulan cadangan Pas kawasan agar hubungan itu diputuskan.    

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dari segi PKR, pendirian mereka tidak berubah malah mahu semua parti pembangkang termasuk Pas kekal dengan misi bekerjasama untuk memenangi PRU14.    

"Kita tengok nanti apa yang akan diperkatakan dalam muktamar mereka (Pas).    

"Pendirian PKR tetap sama (kekal berhubungan dengan Pas) dan meneruskan misi satu lawan satu pada PRU-14," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.  

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Pas  Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam yang mencadangkan Pas pusat memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menghadiri perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di sini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata PKR tidak pernah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan mana-mana rakan pembangkang malah pihaknya sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk terus berbincang dengan Pas mengenainya.    

Semalam Pas kawasan Permatang Pauh dilapor meluluskan usul agar Pas pusat memutuskan hubungan dengan PKR berikutan tindakan parti itu dikatakan bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi.    

Cadangan Yang Dipertua Pas Permatang Pauh Omar Hassan itu berasaskan tindakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara yang banyak menyerang kepimpinan Pas. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jika benar mahu menumbangkan Pas, Datuk Husam Musa tidak perlu mencalonkan orang lain untuk bertanding di kerusi Dun Panchor, yang kini digalas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
  • AMPANG - Seramai 547 ahli Umno dan Pas telah mengambil keputusan untuk meninggalkan parti tersebut dan menyertai Bersatu Bahagian Ampang.
  • KUALA TERENGGANU - Beberapa wakil rakyat khususnya dari BN dan Pas yang tidak sehaluan dengan parti masing-masing dijangka akan menyertai Pakatan Harapan menjelang PRU14.
  • SHAH ALAM - Pas menyifatkan wujud sesetengah pihak yang pada dasarnya sebagai musuh politik dan aliran pemikiran tetapi sanggup bersatu demi menyerang Islam dan umatnya.
  • KOTA BHARU - Pas secara sinis menjelaskan tindakan Adun Anak Bukit, Amiruddin Hamzah yang bertindak keluar parti dilihat lebih 'jantan' berbanding dengan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.