SHAH ALAM - Tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana ahli yang didapati cuba untuk melakukan ‘cah keting’ dalam parti.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, individu yang tidak tersenarai sebagai calon yang bertanding pada PRU14 seharusnya menerima kenyataan secara terbuka supaya tidak berlaku sebarang perkara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan di dalam parti.

“Wakil rakyat yang bertanding pada pilihan raya bukanlah segala-galanya, tapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kita menempatkan diri dalam parti.

“Bila tidak tercalon, bukanlah bermakna dunia sudah kiamat kerana bukan segalanya berakhir di situ. Masa masih banyak, jadi kita harus lebih positif,” katanya pada sesi Live FB Sinar Harian bertajuk PRU14: ‘Cah Keting’ dalam parti, sampai bila?, semalam.

Pada masa sama, beliau percaya, setiap keputusan dalam menetapkan senarai calon PRU14 memiliki alasan dan perancangan tersendiri.

“Saya percaya presiden ada perancangan yang lebih teliti dan beliau tahu mana nak tolak dan mana nak campur calon-calon yang disenaraikan” katanya.

Justeru, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan had tempoh masa bagi seseorang calon bertanding pada pilihan raya.

“Dalam hal ini, mungkin kita perlu terbuka, contohnya seorang wakil rakyat itu hanya boleh bertanding sehingga tiga penggal sahaja.

“Sebab memang ada kesan jika terlalu lama, mungkin calon ini telah tumpul dari segi idea-idea baharu,” katanya.