SHAH ALAM - Penahanan beberapa pemimpin kanan Parti Warisan Sabah (Warisan) termasuk Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal didakwa bertujuan melumpuhkan parti itu dan menakutkan penyokongnya.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad juga mendakwa penahanan pemimpin kanan Warisan itu adalah atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kali ini Najib mengarahkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menangkap pemimpin-pemimpin Warisan di Sabah.

“Pegawai SPRM diugut untuk melaksanakan arahan Najib. Jika tidak patuh tindakan tertentu akan diambil. Mereka mungkin diturunkan pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuhkan hak pencen dan bermacam lagi,” katanya dalam catatan terbaharu diblognya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Shafie Apdal direman empat hari]

Dakwa Mahathir lagi, pegawai tinggi PDRM, pegawai di jabatan pendakwa raya termasuk pengarah syarikat dalam Khazanah ditakutkan supaya menyokong perbuatan salah Najib demi menang pilihan raya.

“Demikian juga pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan yang akan dilantik mengurus pilihan raya. Mereka akan disuruh menipu untuk beri kemenangan kepada Najib dalam PRU14.

“Pakatan Harapan yakin akan menang jika tidak ada penipuan dalam pilihan raya. 90 peratus pengundi yang berdaftar sudahpun menyatakan mereka tolak Najib,” katanya.

Pakatan Harapan berjanji akan membela nasib penjawat awam yang teraniaya sekiranya menang PRU14.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Mahathir mempersoalkan kewujudan sebuah estet industri ketika melawat Kuantan, baru-baru ini.

Dakwanya, estet industri itu mempunyai keluasan 3,000 ekar, dikelilingi tembok simen setinggi lapan kaki dan sembilan kilometer panjang.

“Tulisan atas tembok gergasi ini hanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa asing. Dalam kawasan ini terdapat banyak bangunan yang berbentuk kilang.

“Orang Malaysia tidak dibenar masuk ke estet industri ini. Dikatakan semua pekerja datang dari negara yang memiliki estet ini yang jumlahnya dikatakan seramai 3,000 pekerja,” katanya.

Dakwa Mahathir lagi, kononnya estet industri itu turut lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk kedai dan restoran yang membekalkan keperluan untuk pekerja dan pegawai.

“Ada yang berkata wang yang digunakan dalam estet ini bukan dalam Ringgit Malaysia, tetapi asing.

“Saya tertanya-tanya apakah mereka menggunakan undang-undang Malaysia? Apakah pihak berkuasa Malaysia meluluskan pembangunan dalam kawasan ini? Apakah mereka bayar cukai kepada kita,” katanya.

Mahathir turut mempersoalkan kewujudan estet industri itu yang hanya terdapat di Pahang sahaja.

“Dengan adanya estet industri seperti ini, Malaysia akan jadi negara maju. Tak usahlah tanya akan peluang pekerjaan, kontrak, berniaga oleh rakyat Malaysia. Kita perlu korbankan diri untuk mendirikan negara maju milik orang asing.

“Syabas Najib. Awak cukup bijak. Tidak ada cara yang lebih baik untuk bangunkan negara daripada menjualnya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Pakatan NGO Pro BN mempertikaikan kelayakan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi Ketua Menteri Sabah berdasarkan rekod pencapaiannya ketika menjadi menteri Kerajaan Persekutuan.
  • KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan perubahan kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
  • KOTA KINABALU - Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) Zulkarnain Mahdar berkata tindakan bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengambil alih parti sedia ada yang telah berdaftar di Sabah, bukan suatu perkara yang luar biasa dan perlu digeruni.
  • SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah membayangkan kemungkinan berlaku kerjasama antara PKR dengan parti yang diterajui bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Sabah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.