BANDARAYA MELAKA - Pas Melaka mahu penggubalan undang-undang bagi menangani berita palsu ditangguhkan dahulu.

Pesuruhjayanya, Kamarudin Sidek berkata, ada akta lain yang lebih penting patut digubal iaitu Akta Pencegahan Rasuah 2009, kerana mendakwa hukumannya ringan dan kurang berkesan.

“Rasuah merupakan barah dalam pentadbiran negara serta merugikan rakyat lantaran lagi elok ia perlu digubal berbanding undang-undang menangani berita palsu.

“Walaupun saya setuju pada dasarnya (undang-undang berita palsu) cuma, cadangan itu datang dalam situasi yang kabur. Maksudnya seolah-olah ada agenda tersirat misalnya disebabkan skandal 1MDB.

“Sepatutunya dari dulu lagi sudah digubal akta tersebut agar dilihat lebih berintegriti dan adil. Saya berpandangan tangguh dulu dan buat satu kajian terperinci,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.