LUMUT - Parti yang berupaya menguruskan isu dalaman, imej, persepsi dan media, termasuklah media sosial akan berada dalam kedudukan lebih kuat untuk memenangi PRU14, kata Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Untuk itu, beliau menggariskan lapan kriteria utama yang perlu ditangani iaitu menguruskan isu-isu, imej perpaduan, jentera parti, kepimpinan, media termasuk media sosial, dana, manifesto dan calon.

"Lapan kriteria ini menentukan parti mana yang boleh menang dalam setiap pilihan raya. Oleh itu, berikan perhatian khusus kepada kriteria-kriteria ini dan semua ini perlu diurus dengan baik," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lumut, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, adalah penting bagi Umno dan komponen BN untuk menguruskan isu yang terbahagi kepada tiga iaitu peringkat nasional, negeri dan tempatan.

"Kita kena bezakan isu ini dan terserahlah kepada Umno negeri untuk tanganinya kerana sekarang ini kita hidup dalam dunia yang berbeza," katanya.

Mengulas lanjut mengenai lapan faktor penentu kemungkinan untuk meraih kemenangan dalam PRU akan datang, Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, media sosial masa kini memainkan peranan dalam kehidupan harian dan adalah penting bagi memeriksanya secara berimbang selain perlu rasional dalam membuat pertimbangan.

"Sebab itulah kita kena tangani, urus media sosial ini dan harus berani melawan dengan memberi fakta. Kadangkala masalah memberi fakta dan auta, tapi auta menang, itu yang masalahnya," katanya.

Bagi imej perpaduan dan persepsi, katanya, perkara itu penting kerana sekiranya Umno tidak menguruskannya dengan baik, maka akan timbul seolah-olah wujudnya perpecahan dan persepsi negatif rakyat terhadap parti itu.

Beliau turut menyentuh menguruskan jentera kempen dengan baik boleh mempertingkatkan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.

"Ini adalah faktor penentu dan sesiapa yang (dapat) mengawal keadaan akan mendapat sokongan untuk memenangi pilihan raya umum," katanya.

Sehubungan itu, Salleh menggesa anggota Umno supaya bersatu dan fokus dalam meningkatkan persediaan menghadapi PRU14.

Beliau juga menyeru  jentera parti memberikan sokongan padu kepada Zambry yang juga Adun Pangkor.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis itu, Salleh berkata, beliau tertarik dengan slogan Zambry 'tiada tertinggal, tiada terpinggir' bukanlah sekadar slogan kosong kerana Menteri Besar itu terbukti memainkan peranan penting dalam mencari inisiatif di samping membawa banyak projek pembangunan demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Beliau (Zambry) melakukan banyak perkara untuk orang-orang Perak, tindakannya lebih kuat daripada kata-kata. Dia juga memiliki ciri-ciri personaliti yang positif, berpendidikan tinggi, dan mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik.

"Pada saya, itu kunci segala-galanya yang harus kita lakukan sepertimana yang dilakukan MB (Zambry), bukan (hanya) turun padang, tapi cuba mengurus padang menyelesaikan masalah, mendengar masalah dan mencari jalan untuk mengatasinya kerana rakyat mahu kepimpinan seperti itu.

Oleh yang demikian, Salleh yakin rakyat Perak akan terus menyokong kepimpinan BN untuk mengekalkan kerajaan negeri sekarang.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengenai penarikan balik darjah kebesaran kepada Husam Musa, Wan Rahim Wan Abdullah dan Tun Mahathir Mohamad hanya memperlihatkan sikap pembangkang yang egois.
  • PEKAN - Umno Pekan optimis mampu mampu meraih majoriti 40,000 undi untuk PRU14 sekaligus mengekalkan Parlimen Pekan sebagai kubu parti berusia 72 tahun itu.
  • MELAKA - Umno dan BN mempunyai rekod baik dan konsisten dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama atau bangsa, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
  • SHAH ALAM - "Pas tidak perlu menunggu sehingga selepas PRU14 untuk jadi kuasa penentu apabila pilihan hati sudah dizahirkan dalam menentukan siapa bakal menteri besar Selangor selepas PRU14," sindir Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.
  • SHAH ALAM - Orang Melayu tetap bersama dalam perjuangan parti keramat Melayu itu, walaupun terdapat pemimpin tertingginya yang keluar daripada parti.