LUMUT - Bertanding di dua kerusi bukan tiket untuk seseorang calon itu bersikap angkuh dan merasa hebat, kata Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sebaliknya, beliau menganggap ia satu tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keinsafan.

Menurutnya, keputusan pucuk pimpinan meletakkan beliau sebagai calon di dua kerusi iaitu Parlimen Lumut dan Dun Pangkor pada PRU14 ini diterima sebagai satu amanah untuk rakyat.

“Saya tidak anggap ia satu keistimewaan untuk saya rasa bangga atau hebat, saya juga tidak datang (calon dua kerusi) hanya kerana nak kalahkan orang itu atau orang ini.

“Saya lebih suka melihatnya sebagai satu amanah agar dapat terus memberi khidmat di Dun dan Parlimen ini, saya harapkan kita dapat bersama bantu memakmurkan kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Semalam, pada majlis pengumuman calon BN Perak, Zambry diumumkan bertanding di Dun Pangkor dan Parlimen Lumut menjadikan beliau satu-satunya pemimpin BN negeri ini bertanding di dua kerusi.

Pada PRU13 lalu, Zambry menang di Dun Pangkor dengan majoriti 5,124 undi sementara kerusi Parlimen Lumut dimenangi PKR.

Terdahulu, beliau ditemui pada majlis penyampaian hak milik strata kepada pemaju dan badan pengurusan bersama (JMB) daerah Manjung.

Dalam majlis itu, sebanyak tujuh apartmen melibatkan 1,171 unit rumah menerima geran hak milik masing-masing.