• Tanding di Gelang Patah satu amanah, kata Ghani Hishammuddin dan Abdul Ghani pada Majlis Pelancaran dan Pengumuman Calon BN, semalam.
1 /

JOHOR BAHRU - Pengumuman Pengerusi BN Negeri, Datuk Abdul Ghani Othman bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah menamatkan spekulasi yang mengaitkan Menteri Besar Johor itu, selama ini.

Abdul Ghani menyifatkan pemilihannya bertanding di kerusi panas itu satu amanah biarpun mengakui berdepan saingan.

“Ia merupakan satu amanat daripada parti untuk bertanding di Gelang Patah, kebetulan calon pembangkang adalah Lim Kit Siang, parti amanahkan saya untuk pertahan kerusi BN Johor, memastikan kemenangan BN di Johor.

“Saya amat dekat dengan Johor termasuk Gelang Patah, dengan itu saya menawarkan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai wakil rakyat dan pemimpin untuk semua kaum,” katanya.

Abdul Ghani optimis untuk menang di kerusi tersebut dengan gandingan dua calon baru di Dun Skudai dan Dun Nusajaya.

“Pucuk pimpinan buat keputusan memilih Datuk Dr Zaini Abu Bakar dan Liang Ah Chy di Skudai dan ia merupakan satu kekuatan tambahan bagi kawasan Gelang Patah,” katanya.

Abdul Ghani berkata, pembangunan yang dibawa kerajaan khususnya di Iskandar Malaysia menjadi penanda aras buat pengundi memilih pemimpin mereka.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga merupakan calon Parlimen Sembrong, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn menegaskan akan bersama-sama memberi sokongan padu kepada Abdul Ghani untuk terus mempertahankan Johor.

Katanya, pimpinan BN akan sama-sama turun padang untuk memastikan Abdul Ghani mengetepikan saingannya Kit Siang, Penasihat DAP.

“Saya secara peribadi, mewakili rakan-rakan kita dalam BN menyatakan di sini bahawa sokongan kita kepada calon BN Gelang Patah tidak akan berbelah bahagi.

“Saya tekad untuk kita sama-sama bersama dengan Datuk Ghani di Gelang Patah. Ianya adalah merupakan satu semangat yang kita tidak pernah lihat sebelum ini.

Walaupun Datuk Ghani melihatnya sebagai satu amanah dan amanat kepada parti, amanah itu dibuat berdasarkan sokongan yang luar biasa kepada Datuk Ghani tidak kira daripada parti mana (dalam BN) kerana semangat BN di Johor ini sebagaimana yang diketahui semua agak luar biasa,” katanya.