BERA - Bukan sesuatu yang mengejut apabila Datuk Zaid Ibrahim lantang menyuarakan bahawa Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebimbangan situasi ini telah lama dibangkitkan berikutan komposisi kerusi pembangkang di Parlimen ketika ini.

"Saya telah beberapa kali mengingatkan perkara ini dalam ucapan saya pada setiap kali perasmian mesyuarat Umno... mereka (DAP) paling dominan di Parlimen.

"Semestinya, DAP boleh melantik sesiapa yang mereka mahu untuk menjadi Perdana Menteri kerana dalam Perlembagaan siapa sahaja dari parti dominan boleh dilantik. Jadi, tiada halangan untuk Kit Siang sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Peruntukan kepada Cawangan Umno Bahagian Bera, di Dewan Umno, hari ini.

Ismail Sabri berkata, DAP boleh melantik pemimpin parti itu secara langsung sebagai Perdana Menteri atau melantik sesiapa sahaja daripada parti pembangkang sebagai proksi mereka.

"Mereka (DAP) ada dua pilihan iaitu melantik pemimpin mereka sebagai Perdana Menteri atau lantik proksi... maknanya, mereka lantik orang lain (bukan pemimpin DAP) sebagai proksi dalam membuat keputusan.

"Sudah pasti kenyataan Zaid itu jelas membuktikan bahawa penafian DAP sebelum ini yang kononnya tidak berminat dengan jawatan (Perdana Menteri) hanyalah drama semata," katanya.

Selain Zaid, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy antara individu yang menyatakan bahawa Kit  Siang adalah calon yang layak sebagai Perdana Menteri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :