SHAH ALAM - Pas menyindir pimpinan PKR yang dilihat berteka-teki dalam memutuskan kerusi mana yang bakal dikosongkan bagi memberi laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, PKR tidak perlu mengambil masa terlalu panjang untuk memutuskan kerusi sebaliknya mereka yang setia dengan Anwar yang perlu berebut untuk mengosongkan kerusi.

Katanya, ini memandangkan ketika ini siapa yang paling rapat dengan Anwar, maka individu itu yang bakal mendapat paling banyak sokongan dalam pemilihan nanti.

"Kalau begitu, bagi saya lebih baik siapa yang menunjukkan dia paling setia dengan Anwar, dia yang patut letak jawatan dan bagi laluan kepada Anwar.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukan di Pandan, tunggu saya umum esok']

"Kalau (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) rasa dia paling setia, kenapa tidak beliau kosongkan kerusi untuk Anwar? Begitu juga (Datuk Seri) Wan Azizah (Wan Ismail). Tak payah nak berteka-teki terlalu lama sangat," katanya kepada pemberita Majlis Makan Malam Meraikan Petugas PRK Dun Seri Setia.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail.

Selain itu, Sallehen turut menjangkakan PKR bakal menghadapi pilihan raya kecil penuh mencabar dalam usaha mengangkat Anwar sebagai perdana menteri.

Malah, katanya kemungkinan juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan bersama menyokong PKR sebaliknya menyokong pembangkang.

"Bagi saya, PKR akan menghadapi pilihan raya ini dalam keadaan perlu berdepan pertembungan dalaman, sabotaj dalaman yang kuat.

"Kemungkinan juga Tun Dr Mahathir tidak akan beri sokongan dan akan bersama pembangkang untuk pilihan raya ini. Tak mustahil akan berlaku," katanya.

Terdahulu, PKR dilihat masih berteka-teki berkenaan kerusi yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Beberapa tempat dikatakan bakal berdepan pilihan raya kecil termasuk kawasan Parlimen Pandan, Selayang dan Nibong Tebal bagi tujuan itu, namun dinafikan oleh pimpinan PKR.