SHAH ALAM - Tak perlu buat spekulasi dan tunggu sahaja sehingga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerusi parlimen yang akan ditandingi beliau.

Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian ketika ditanya sama ada Umno BN khususnya di Selangor sudah membuat persediaan bagi menghadapi PRK susulan khabar angin mengatakan kemungkinan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar.

Ismail Sabri berkata, buat masa ini tiada sebarang perbincangan dibuat di peringkat Umno Bahagian Pandan, negeri mahupun pusat.

"Pertama sekali, kita tak tahu di parlimen mana Anwar akan bertanding...Di Pandan ke atau di mana? Sebaiknya kita tunggu beliau buat pengumuman dulu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukan di Pandan, tunggu saya umum esok']

"Selepas itu, saya yakin pucuk pimpinan Umno akan membuat keputusan mengenai hal tersebut (PRK) termasuk keperluan untuk berbincang dengan parti pembangkang lain bagi menentukan parti yang akan bertanding dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, jika benar akan berlaku PRK dalam masa terdekat, seluruh peringkat Umno Selangor akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Terdahulu, tular WhatsApp berhubung arahan Naib Presiden Pas juga Yang Dipertua Kawasan Pandan, Datuk Iskandar Abdul Samad yang meminta seluruh jentera pilihan raya Pas di semua peringkat kawasan Pandan untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan PRK di parlimen itu dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai perkara itu, Ismail Sabri berkata, adalah wajar Iskandar mengarahkan jenteranya bersedia kerana jika Umno bertanding pun, Pas pasti akan bekerja kuat utk kemenangan calon Umno seperti mana jentera Umno bahagian Petaling Jaya yang bekerja kuat sewaktu PRK Seri Setia baru-baru ini.

"Sesiapa pun bertanding, Umno atau Pas pasti akan bekerja kuat.

"Apa yang pasti pucuk kepimpinan kedua-dua parti akan berbincang dan membuat keputusan parti mana yg akan bertanding jika berlaku PRK lagi dalam masa terdekat," katanya.