PUTRAJAYA - Siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pemimpin Umno bukan sebagai tekanan untuk mereka menyertai Bersatu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, PDRM dan SPRM bebas menyiasat mana-mana individu.

"Secara kebetulan, mereka disyaki. Sekiranya mereka tidak terlibat jenayah, mereka tidak disiasat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di sini hari ini.

Semalam Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed diugut untuk meninggalkan parti itu ataupun berdepan dengan pertuduhan.

Mustapa yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu disiasat kerana menerima dana RM2.6 bilion daripada Najib.

Sementara itu, Mahathir menolak dakwaan wujud campur tangan dalam pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.