KUALA LUMPUR - Presiden Umno baharu yang akan dipilih kelak perlu memikirkan perancangan masa depan Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen selepas kekalahan dalam PRU14.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, apa yang penting BN kini perlu platform politik berbilang bangsa kerana bukan Umno sahaja yang perlu diselamatkan.

"Kita kena kerjasama dengan parti komponen lain termasuk membincangkan cadangan untuk jadi satu gabungan saja," katanya dalam sidang media, hari ini.

Khairy yang juga calon Presiden Umno berkata, sekiranya menang jawatan itu, beliau akan berjumpa dengan parti-parti komponen BN untuk memahami hala tuju mereka selepas pemilihan Umno selesai.

Beliau turut berpendapat, BN perlu menggunakan pendekatan baharu termasuk jika ada keperluan untuk tukar nama atau rombakan besar-besaran.

"Jika ada ada keperluan untuk tukar nama boleh kita buat, tetapi yang lebih penting ialah dari segi pengisian. Kalau setakat penjenamaan semula BN, itu bukan perancangan saya.

"Tak guna ada nama dan logo baharu tetapi pengisiannya sama. Sebaliknya, kita perlu buat rombakan besar-besaran dalam BN," katanya.