BANDARAYA MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) beri jaminan kepada orang Melayu bahawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mungkin dipilih menjadi perdana menteri sekiranya Harapan menang pada PRU14.

Menurut Dr Mahathir, parti berkenaan hanya bertanding sebanyak 40 kerusi berbanding 222 kerusi parlimen keseluruhan.

“Kalau Umno kalah Lim Kit Siang tak mungkin jadi PM, macam mana dia nak jadi PM sedangkan bilangan ahli DAP tak ramai,” katanya ketika berucap di Majlis Santai Teh Tarik bersama kira-kira 300 penduduk di Kampung Tampoi, Krubong di sini, petang tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Abu Bakar Yahya dan Ketua Bahagian Tangga Batu, Mohd Rafiq Naizamohaiden.

Dalam pada itu beliau turut mengakui DAP menyedari tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan parti lain.

“Dulu DAP keseorangan dan tak mungkin mampu kalahkan BN. Sekarang mereka sedar tanpa sokongan parti Melayu lain, DAP tak kan boleh jatuhkan BN.

“Sebab itulah DAP hari ini bukan lagi semua Cina, mereka pun sudah letakkan calon Melayu, “ katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Bersatu berkata, DAP juga menandatangani perjanjian bagi menghormati perlembagaan Malaysia sedia ada.