SHAH ALAM - Rakyat akan terus memberi kemenangan kepada BN sekiranya kerajaan berani menyiasat skandal 1MDB dan Jho Low.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim berkata, sekiranya pimpinan Umno diberi penerangan jelas berhubungan perkara sebenar yang berlaku dalam polemik 1MDB dan Jho Low mereka boleh menyampaikan maklumat berkenaan kepada rakyat dalam kempen PRU14 nanti.

“Pemimpin seharusnya beri penerangan terperinci dahulu, bukannya menutup kes ini. Nasihat saya dalam isu begini, tidak semua yang disebut pemimpin itu betul mesti ada asas

“Orang Umno atau saya sendiri pun sama-sama kita baiki parti ini dan jangan kita takut kepada kebenaran. Saya tidak berniat bersuara ini untuk memburukkan atau mencari kesalahan sesiapa tapi kes Jho Low dan skandal negara ini telah menyalahi undang-undang anti rasuah kerana kehilangan defisit jadi apa salahnya kita membuat tindakan bagi memperbetulkan masa depan tanah air dan anak cucu kita,” katanya.

Rais yang juga bekas menteri kabinet berkata, baru-baru ini beliau hanya membangkitkan isu Jho Low dan tidak sedikit pun menyentuh soal 1MDB.

“Saya hanya menyebut Jho low sebab sedutan kewangan yang dia buat terlampau besar.

“Jadi bagi saya isu ini wajib disuarakan dan agar anak buah kita berani sikit berjuang. Kalau pemimpin bahagian dan cawangan tak tahu macam mana nak jawab isu ini bagaimana mereka nak berkempen pada PRU14 nanti,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang berusaha bersungguh-sungguh ‘membungkus’ isu ini daripada terus diperkatakan.

“ Apabila kita dah mengatakan jangan cakap fasal ini, Parlimen pun tak boleh cakap pasal ini, Speaker Dewan Rakyat pun membuat peraturan.

“Jadi rakyat akan tanya apa sebab nak dibungkus? Boleh dikatakan satu bangkai nak ditutup dengan daun-daun kecil, daun lalang memang tak boleh,” tegas Rais.

Menurut beliau sekiranya BN mencari kemenangan dalam PRU14 ini, beliau menggesa agar kerajaan wajar membuat penyelidikan dan siasatan berkenaan skandal kontroversi ini.

“Jadi kalau kita nak mencari kemenangan saya berpendapat wajar kita buat penyelidikan dan siasatan. Rakyat akan kata Alhamdulillah, mungkin ia makan masa setahun tapi  menjelang bulan Jun, BN Insya-ALLAH menang balik.

“Pada masa itu kita dah boleh kata kita tak ada apa yang nak sorok kerana apabila  kita ada benda nak sorok dengan sistem begini orang akan bertanya ada apa-apa yang kita nak lindungi? Di mana letaknya Encik Jho Low? ,” jelasnya.

Bagaimanapun Rais berkata, beliau tidak mengkonklusikan bahawa Jho Low akan menyebabkan BN tumbang pada pilihan raya akan datang.

“Saya tak kata sebab Jho Low akan tentukan menang, kalah kerajaan tapi impaknya memang ada.

“Kesan itu sangat ketara kepada masyarakat Cina dan Melayu pertengahan walaupun diperingkat bawahan di kampung mereka tidak kisah  tapi saya dapati hal ini diperenggan masyarakat pertengahan hangat diperkatakan,” ujar beliau.

Rais mendesak agar kerajaan melakukan siasatan sama ada dengan bantuan penguatkuasa antarabangsa atau dijalankan secara persendirian.

“ Kita tak buat penyiasatan itu sudah merupakan sistem melindungi Jho Low dan orang pun nak tahu Jho Low di mana sekarang, AS4 4.5 bilion itu bagaimana?

“Dunia terus bercakap soal Jho Low berkait dengan negara kita, tak telus jika kita tutup kes dengan dakwaan Jho Low tak ada kena mengena,” katanya.