KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan badan itu menjadi penasihat kepada ahli politik tertentu supaya lompat parti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, tidak seharusnya tuduhan itu dilemparkan kerana SPRM tidak mempunyai sebarang kaitan dalam bidang politik.

“Saya nafikan SPRM terlibat dalam memberi nasihat kepada ahli politik untuk lompat parti. Kami memerangi jenayah rasuah. Kami bukan badan politik.

“Hal-hal politik tidak ada kena mengena dengan SPRM,” katanya dalam temubual bersama Bernama Radio, hari ini.

Dalam pada itu, SPRM sekali lagi menafikan bahawa pihaknya memanggil ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi memberi keterangan berhubung dana yang diterimanya untuk parti.

“SPRM tidak pernah panggil beliau pun untuk sebarang siasatan,” katanya.

Khamis lalu, sebuah stesen radio Inggeris tempatan melaporkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, mendakwa bekas anggota Mustapa disoal siasat SPRM berhubung dana yang diterima untuk kegunaan parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM nafi panggil Tok Pa kes dana parti]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa disiasat terima wang?]

Sebelum ini juga, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa turut mendakwa Mustapa disiasat oleh polis berkaitan menerima sejumlah wang.

eliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada perkara itu sebagai punca Mustapa meninggalkan Umno.