PUTRAJAYA - Parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengemuka    permohonan untuk menempatkan wakil pemerhati di pusat penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pos di pejabat perwakilan  Malaysia di luar negara, mulai hari ini.

Menurut kenyataan Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, tarikh tutup permohonan ialah pada hari kelima selepas  tarikh pembubaran Parlimen.

Beliau berkata pemohon mestilah warganegara Malaysia; berumur tidak kurang 21 tahun; dan dilantik oleh parti politik yang  berdaftar dengan SPR atau NGO yang dilantik sebagai pemerhati tempatan.

"Lantikan tidak boleh melebihi lima orang bagi sesebuah parti politik atau NGO, dan hanya seorang wakil pemerhati sahaja dibenarkan masuk memerhati proses penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pos di Pejabat Perwakilan pada satu-satu  asa," katanya.

Permohonan yang lengkap perlu dihantar kepada Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Aras 5, Blok C7, Kompleks C, Pihak Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62690 Putrajaya (u.p : Unit Pengurusan Undi Pos).

Kamaruddin berkata antara bidang tugas serta tanggungjawab wakil pemerhati ialah hanya memerhati proses penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pos.

"Mereka juga perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di sesebuah Pejabat Perwakilan dan dibenarkan memerhati dari  empat disediakan sahaja," katanya.

Selain itu, mereka dilarang mengambil gambar sepanjang proses pemerhatian; mengganggu proses penyerahan dan penerimaan balik sampul undi pos serta melakukan aktiviti yang boleh mencetus sebarang kekecohan; dan mengeluarkan sebarang kenyataan  kepada media.

"Pegawai yang bertanggungjawab di pejabat perwakilan berhak mengusir keluar atau menamatkan pelantikan mana-mana pemerhati yang melanggar syarat pelantikan dan akujanji," katanya.

Beliau berkata segala kos dalam menempatkan wakil pemerhati ditanggung sepenuhnya oleh parti politik dan pertubuhan masing-masing.

Sejumlah 16 NGO dilantik SPR sebagai pemerhati tempatan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) iaitu lima NGO dari  Semenanjung, lapan bagi Sarawak dan tiga bagi Sabah. - Bernama