SPR minta warga emas ragu semak daftar pemilih
$entry.content.caption.value

GEORGETOWN - Seramai 2,183 pengundi berdaftar belum mengemas kini data peribadi, termasuk kad pengenalan dan alamat terkini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang.

Majoriti mereka yang dikategorikan pengundi awam dan ragu dalam kalangan warga emas yang dikatakan masih menggunakan kad pengenalan lama mahupun gagal menuntutnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarahnya, Morat Pora berkata, pihaknya sudah mengenal pasti jumlah keseluruhan pengundi terbabit dan digesa untuk melaporkan status peribadi kepada SPR dalam tempoh segera.

Menurutnya, sehingga 31 Januari lalu, pihaknya menerima sembilan aduan berhubung perkara tersebut.

“Malah, pengundi yang selebihnya digesa ke JPN untuk mengaktifkan semula kad pengenalan lama, bercop bunga raya kepada MyKad sebelum datang ke pejabat SPR untuk mengemas kini status mereka. Jika, mereka gagal mengaktifkan kad pengenalan diri akan berdepan masalah pada hari mengundi nanti.

“Sebaik selesai berurusan dengan JPN, pengundi perlu memaklumkan kepada kami (SPR) mengenai perkara tersebut tanpa perlu mengisi semula borang pengundi. Sekiranya gagal berbuat demikian kami terpaksa memotong nama sebagai daftar pengundi kerana dianggap individu sudah meninggal,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Mohd Faiz Syawan Zainal Abidin.

Morat turut meminta kerjasama daripada waris terlibat dengan kes pengundi awam ragu berkenaan dalam melaporkan status pengundi tersebut amatlah dialu-alukan.

“Mereka boleh datang ke pejabat SPR untuk memeriksa senarai nama pengundi awam dan ragu, bagi mengelakkan sebarang masalah timbul, pada hari mengundi.

“Sekiranya, tidak berbuat demikian , pihak SPR akan memotong nama pengundi berkenaan. Ini adalah bertujuan membersihkan rekod pemilih sebelum hari pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 957,350 pemilih berusia 21 tahun ke atas sehingga 4 Oktober 2007 di negeri ini layak untuk mengundi dan daripada jumlah tersebut seramai 803,304 pemilih telah berdaftar. Malah, baki seramai 154, 046 orang yang belum mendaftar sehingga 29 November, tahun lalu.
 


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.