KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed didesak melepaskan jawatannya sebagai ahli parlimen selepas tindakannya keluar Umno hari ini.

Bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Rafii berkata, Mustapa atau Tok Pa perlu bertindak sedemikian sekiranya masih mempunyai maruah.

Ini kerana menurutnya, apa yang dilakukan Tok Pa lakukan merupakan pengkhianatan kepada kepercayaan parti.

"Beliau berkata tentang rejuvenasi parti walhal beliau yang seorang tua, sekian lama menjadi pemimpin parti pun bertanding pada PRU yang lepas. Lepas tu bertanding lagi sebagai ketua bahagian dan bertanding juga sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

"Kalau ada maruah, sila letak jawatan sebagai ahli Parlimen Jeli, sebagai manusia yang ada maruah dan berprinsip," katanya dalam kenyataan media hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno]

Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar daripada Umno dan menjadi ahli Parlimen bebas.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melihat reaksi, sentimen dan sikap sebenar ahli Umno yang masih dalam sindrom penafian termasuk harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru yang berwibawa dalam pemilihan Umno di pelbagai peringkat tidak kesampaian.

Malah, beliau turut percaya kepimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat telah menolak Umno, sebaliknya mereka beranggapan parti hanyalah mangsa kebencian rakyat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mas Ermieyati keluar Umno]