SUNGAI PETANI - Calon BN pada PRU13 wajar disiasat sama ada berbelanja melebihi had dibenarkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, siasatan itu perlu dilakukan susulan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mengesahkan BN membelanjakan lebih daripada RM1.5 bilion pada PRU13 lalu di sebuah portal berita.

Menurutnya, dalam kenyataan itu, Idris mengesahkan dakwaan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan dalam suatu mesyuarat Ketua-Ketua Perhubungan Umno, BN membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion pada PRU13 lalu.

Bagaimanapun, Idris dipetik berkata, jumlah itu tidak semestinya daripada derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib.

“Berdasarkan kepada peruntukan bawah Seksyen 19 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, seseorang calon dalam pilihan raya atau ejen pilihan rayanya tidak boleh membelanjakan wang melebihi RM200,000 bagi kerusi parlimen dan tidak melebihi RM100,000 bagi kerusi Dun,” katanya.

Mohd Asmirul Anuar berkata, pengesahan Idris jelas menunjukkan calon-calon BN telah berbelanja melebihi had dibenarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 19 (2) Akta sama.

“Siasatan berhubung pendedahan Mukhriz dan pengesahan yang dibuat Idris berhubung isu sama ini perlu diambil perhatian, saya harap siasatan dilakukan secara telus,” katanya.

Sehubungan itu, satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Sungai Petani, pada 7.15 malam kelmarin.

Mohd Asmirul Anuar berkata, laporan polis dibuat agar polis menyiasat pihak-pihak berkaitan berhubung pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :