SEREMBAN - “Syukurlah...memang itu sepatutnya kita lakukan. Siapa perlu beralah, dia beralah. Tapi beralah kerana nak cari kebaikan bukannya mencari suatu yang tak baik.

Demikian kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyamakan hubungan Umno dan Pas sebagai ‘adik-beradik’berikutan langkah Pas yang memberi laluan kepada Umno untuk meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil(PRK) Dun Sungai Kandis.

Menurutnya,rundingan dengan Pas supaya menghantar seorang sahaja calon dari parti pembangkang merupakan konsep pemikiran baharu yang cuba dilakukan Umno.

“Kita jangan lagi terikat dengan cara pemikiran politik lama sehingga kita berpecah dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat dan negara.

“Kita boleh bersetuju dan tak bersetuju dan mana yang baik kita setuju. Yang perlunya adalah kebersamaan demi masa depan negara, bangsa dan agama.Tak mahu lagi terikat kerana ego kita dan parti kita kerana ia rugikan semua pihak.

“Seperti yang selalu saya cakap, ‘antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang’. Jadi, jangan kita berlaga-laga untuk kebaikan masa depan negara dan kebaikan ummah dan apa saja yang baik perlu diraikan,”katanya ketika ditemui di majlis Perasmian Maahad Tahfiz Al-Ammar di sini, hari ini.

Ditanya momentum Umno selepas PRU14, Mohamad yang juga Pengerusi Umno Negeri Sembilan berkata, PRK Sungai Kandis boleh dijadikan sebagai percubaan awal Umno untuk mengukur sejauh mana keupayaan parti itu selepas mengalami kekalahan pada PRU14.

“Kita tak mahu orang kata selepas kalah PRU14, kita terus senyap dan tak buat apa-apa. Sekurangnya kita dilihat menyertai pilihan raya kecil dan masih terus aktif gerakkan jentera.

“Baiknya, percubaan kita kali ini bukan lagi sebagai parti kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.Itu sebabnya kita buat macam-macam nak pastikan jentera terus bergerak, jika tidak nanti semuanya jadi pasif yang akan beri kesan tidak baik pada parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas, Umno macam adik beradik: Tun M]