SHAH ALAM - Kegagalan BN untuk merampas dan mempertahankan beberapa negeri dalam PRU14 lepas menjadi satu isyarat jelas bahawa rakyat menginginkan pembaharuan di dalam pentadbiran kerajaan yang tidak bertukar tangan sejak 61 tahun lalu.

Selain kehilangan kubu kuat mereka di Johor, BN turut berputih mata apabila mereka terpaksa melepaskan beberapa negeri lain seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Sabah.

Di samping itu, BN juga turut mengalami kekalahan teruk di Selangor apabila hasrat mereka untuk mentadbir negeri ini dinafikan oleh Pakatan Harapan (Harapan) dan hanya memperoleh sebanyak empat kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen.

Kerusi-kerusi Dun yang dimenangi oleh BN di Selangor pada PRU14 baru-baru ini adalah Sungai Ayer Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burung.

Jika diimbas kembali keputusan PRU13 lalu, BN pada ketika itu telah mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding PRU14 apabila parti berkenaan mencatatkan kemenangan di 12 kerusi Dun, manakala gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS pula memenangi baki 44 kerusi lain.

Selain BN, Pas yang mengambil pendekatan untuk bersendiri dan bertanding di bawah gabungan Gagasan Sejahtera pada PRU14 kali ini juga turut terkesan apabila mereka hanya berjaya memenangi satu kerusi di Dun Sijangkang.

Noh hasrat lepaskan jawatan

Tidak cukup dengan kekalahan pada PRU14 lalu, BN sekali lagi menerima tamparan hebat apabila Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan untuk melepaskan jawatan yang disandang beliau tersebut.

Noh yang menerajui Umno Selangor sejak 2013 mengambil keputusan itu bagi menggalas tanggungjawab susulan kekalahan teruk BN di negeri berkenaan pada PRU14 lalu.

Namun selepas Noh mengundurkan diri, siapakah figura yang dilihat berkemampuan untuk menggalas tugas berat ini dalam membawa nafas baharu kepada Umno Selangor?

Bagi sebilangan pihak, pemilihan calon bagi menggantikan Noh perlu dibuat secara teliti berikutan jawatan tersebut merupakan satu tanggungjawan yang berat dalam usaha membawa pembaharuan terhadap parti itu.

Malah, calon yang dipilih tersebut perlu benar-benar solid dan berkemampuan bagi menggalas tugas berat ini susulan daripada jumlah bilangan Adun BN yang kini hanya mempunyai empat kerusi di dalam Sidang Dun.

Mat Nadzari, Azhari calon sesuai

Antara nama-nama yang berpotensi untuk menggantikan Noh selepas ini adalah Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.

Mat Nadzari bukannya merupakan orang baharu dalam politik di Selangor malah beliau juga telah menjadi timbalan kepada Noh sejak tahun 2015 lagi bagi bersama-sama membantu memenangi Umno dalam PRU14.

Pengalaman yang dimiliki Mat Nadzari pastinya berguna kepada Umno bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti Melayu itu yang ditolak dalam PRU14 lalu.

Namun begitu, sesetengah pihak berpendapat pemilihan Mat Nadzari bagi jawatan itu seolah-olah seperti tidak memberi nafas baharu kepada kepimpinan parti berkenaan secara total.

Malah, sekiranya Umno Selangor memilih Azhari, ia dilihat merupakan satu pembaharuan yang dibuat oleh parti dengan menampilkan calon muda bagi menggalas tanggungjawab berat itu untuk memimpin parti berkenaan selepas ini.

Umno Selangor perlu berani berubah jika mahukan perubahan.

Walau bagaimanapun, pemilihan Azhari juga dilihat agak berisiko dan merupakan satu cabaran besar buat parti itu berikutan beliau tidak mempunyai pengalaman mentadbir Umno di peringkat negeri dan hanya aktif sebagai pemimpin di peringkat bahagian sahaja.

Sebelum ini, Azhari pernah menyatakan kepada Sinar Harian bahawa beliau bersedia untuk memikul tugas berat itu sekiranya pucuk pimpinan memilih beliau untuk meneraju Umno Selangor selepas ini.

“Saya tak minta (jawatan ini) namun jika dipilih, saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab berkenaan bagi membawa Umno Selangor ke arah yang lebih baik,”katanya.

Umno Selangor perlu berubah

Malah, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed juga turut menyatakan bahawa Umno Selangor mempunyai peluang untuk mengubah corak kepimpinan mereka dengan memilih calon muka baharu bagi jawatan itu.

Beliau berkata, Azhari dilihat berkelayakan berikutan beliau merupakan muka baharu serta turut mempunyai pengalaman dalam kepimpinan Umno sendiri.

“Orang seperti beliau diperlukan oleh Umno untuk bawa perubahan dalam mengharungi cabaran mengikut konteks Malaysia baharu pada masa kini.

“Budaya mengekalkan pemimpin lama perlu ditolak dan Umno perlu lebih berani menampilkan muka-muka segar khususnya di negeri yang mereka tewas,”katanya.

Kenyataan Marthada itu secara jelas merujuk kepada tindakan ahli dan perwakilan Umno sebelum ini yang mengimpikan perubahan namun mereka masih berada di takuk lama dan tidak berani untuk mengambil ngkah tersebut.

Umno perlu menjadi seperti Harapan yang berani meletakan calon-calon muda untuk berada di dalam kepimpinan tertinggi parti serta turut mendapat kuota dalam barisan kabinet.

Sudah tiba masanya buat Umno untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkarisma seperti bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bagi membawa cabaran baharu parti tersebut sebagai pembangkang.