• Dari kiri: Azmi, Mohd Tajuddin, Ku Abdul Rahman dan Ahmad Bashah. Dari kiri: Azmi, Mohd Tajuddin, Ku Abdul Rahman dan Ahmad Bashah.
1 /

SEJURUS Datuk Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar, kini wujud pula teka-teki siapa bakal membarisi kabinet negeri Kedah.

Melihatkan kepada senarai calon yang layak, Kedah kini memiliki ramai Adun yang berpotensi diketengahkan, sama ada muka baru mahupun orang lama, termasuk bekas exco.

Mukhriz dijangka menggandingkan beberapa wakil rakyat berpengalaman selain calon muda dalam memperkukuh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah untuk melicinkan pentadbiran mengikut portfolio masing-masing.

Antara nama yang disebut-sebut, Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail; Adun Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid dan Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob yang dilihat berpotensi mengisi senarai itu.

Turut diuar-uarkan bakal tersenarai sebagai Exco, Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar; Adun Belantek, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah; Adun Bayu, Azmi Che Hussain; Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain serta Adun Bandar Baharu, Datin Noor Sabrina Mohd Noor.

Berdasarkan kelayakan, Ku Abdul Rahman, 61, berpengalaman luas dalam sektor korporat termasuk pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) dan merupakan Pengerusi Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Kedah.

Mohd Rawi, 46, pula mempunyai kelebihan jika dijanjikan portfolio pelancongan berikutan mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Arab dan Siam selain fasih berbahasa Inggeris, tambahan pula mewakili Langkawi, yang menjadi pusat pelancongan antarabangsa.

Suraya, 44, memasuki penggal ketiga berkhidmat dan paling layak memegang portfolio wanita dan keluarga.

Manakala Ahmad Zaini, 57; Mohd Tajuddin, 49; dan Azmi, 52, antara wakil rakyat yang dikenali berjiwa rakyat dan berkhidmat lebih sepenggal. Tidak mustahil gandingan mereka mampu membantu menguatkan ‘kabinet’ negeri untuk bergandingan dengan Tajul Urus, 61, dan Noor Sabrina, 34.

Ada juga desas desus mengatakan Speaker Dun kemungkinan milik Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Rozai Shafian.

Hanya dua daripada 21 wakil rakyat BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (Adun Bakar Bata) dan Datuk Ahmad Lebai Sudin (Adun Bukit Lada) berpengalaman sebagai exco kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, 19 Adun mewakili komponen Umno manakala dua lagi wakil rakyat MCA. MCA sudah menyatakan pendirian untuk tidak meletakkan wakil rakyat parti itu dalam kerajaan negeri ekoran prestasi buruk pada PRU13 selain tiada calon MIC yang menang kali ini.

Kemungkinan diwujudkan jawatan khas bagi mewakili kaum Cina dan India bagi memastikan kebajikan kaum itu tidak terabai.

Lazimnya, 10 exco dilantik namun tidak mustahil hanya lapan yang dilantik dalam kerajaan kali ini.

Mukhriz dijangka mencadangkan senarai barisan Exco sebelum 15 Mei ini kerana memerlukan masa untuk berbincang dengan kesemua Adun BN bagi menentukan kesesuaian portfolio.