• Siapa calon Kota Damansara? Sebahagian calon pilihan raya PR Selangor merakam kenangan selepas majlis pengumuman di Dataran Shah Alam, semalam
1 /

SHAH ALAM – Calon Dun Kota Damansara masih menjadi tanda tanya  meskipun Pakatan Rakyat (PR) telah mengumumkan kesemua calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), namun nama pemilik kerusi itu masih belum disebut.

Persoalannya, mungkin PR masih gagal menyelesaikan ‘perebutan’ antara calon Pas dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu bertanding di kawasan itu.

Difahamkan, Pas kawasan Subang akan meletak calon untuk merebut kerusi Dun Kota Damansara meskipun PSM sudah bersetuju mempertahankan kerusi itu menggunakan simbol PKR.

Ketegasan Pas untuk mempertahankan kerusi itu menggunakan konsep ‘tahaluf siyasi’ di mana PSM bukan parti komponen dalam PR itu berkemungkinan masih belum dapat dirungkai pihak pimpinan tertinggi Pas yang masih berkira-kira untuk mendapat
penyelesaian yang harmoni antara Pas dan PSM.

Sedang penyokong PR di Kota Damansara masih lagi berteka-teki mengenai calon mereka, penyokong bagi 55 Dun dan 22 Parlimen lain di negeri ini sudah pun mengetahui calon mereka yang menampilkan 50 peratus muka baru.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, dianggarkan separuh daripada calon tidak hadir di majlis pengumuman tersebut atas urusan kerja.