IPOH - Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kampar bukan sesuatu yang mengejutkan.

Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen berkata, Chee Leong memang dikenali di kawasan Parlimen itu memandangkan beliau pernah berkhidmat di kawasan itu sebelum ini.

Katanya, bagaimanapun pengumuman itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana tumpuan rakyat lebih terarah kepada parti mana yang akan menerajui negara selepas PRU14 nanti.

"Rakyat kini sedang fikir sama ada mereka mahu Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita dah beri pilihan dan tawaran terbaik untuk rakyat antaranya menghapuskan GST. Jadi terpulang kepada rakyat nak pilih apa untuk masa depan mereka," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman yang dibuat Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menamakan Chee Leong sebagai calon kerusi Parlimen Kampar manakala Timbalan Ketua MCA Bahagian Kampar, Chang Gwo Chyang sebagai calon bagi kerusi Dun Malim Mawar dan Setiausaha MCA Bahagian Kampar, Daniel Wa Wai How, sebagai calon bagi kerusi Dun Keranji.

Chung Sen berkata, berdasarkan tinjauan dan maklum balas masyarakat ketika turun ke bawah, ramai yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Menurutnya, ada dalam kalangan penyokong BN yang meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan sedia ada kerana gagal menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa kini.

"Mereka jumpa saya beri sokongan kepada Pakatan Harapan kerana BN dah tak boleh bantu selesaikan masalah ini.

"Rakyat sekarang dah bijak buat pilihan. Mereka dah fikir kalau undi BN, dapat Najib dan GST. Kalau undi pakatan, ada Tun Mahathir dan tak ada GST," katanya.

Pada PRU13 lalu Chung Sen berjaya menewaskan Chee Leong dengan majoriti 5,400 undi.