KUALA LUMPUR - Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Sharizat Abdul Jalil berkata ketika ini tumpuan beliau bukan untuk menjadi calon tetapi  pada usaha memantapkan lagi jentera wanita Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau mengambil keputusan itu kerana berpendapat kerja-kerja pemantapan jentera wanita BN itu amat mustahak untuk memastikan kemenangan BN.

"Saya faham situasi ini, sudah semestinya Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berhajat Ketua Wanita Umno diberi tempat untuk menjadi calon. Itu menjadi lumrah dan saya amat memahaminya.

"Namun, buat masa ini, yang lebih mustahak adalah untuk memberi tumpuan 110 peratus persediaan jentera wanita BN. Saya mengambil tanggungjawab ini dengan serius. Bagi saya, fokus bukan untuk menjadi calon tetapi menerajui jentera wanita BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang,"  katanya.

Terdahulu, Shahrizat yang merupakan Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM) melancarkan ASEAN Legal Information Portal di  Universiti Malaya di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahrizat dalam Fecebooknya menafikan spekulasi bahawa beliau akan  bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada PRU14.

"Saya tidak akan bertanding di Bandar Tun Razak dan saya sudah maklumkan kepada Presiden Umno. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana memberi saya penghormatan itu," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding di kawasan lain, Shahrizat berkata beliau tidak tahu.

"Saya tidak tahu apa akan jadi esok tetapi untuk hari ini, saya tidak akan bertanding di mana-mana kawasan. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemantapan jentera wanita BN.

"Kita akan lihat dulu macam mana. Bagi saya, apa-apa keputusan yang saya lakukan, saya akan mendapatkan nasihat Presiden parti terlebih dahulu," katanya. - Bernama