SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) dicabar mengeluarkan dasar terperinci mengenai rancangan masa depan negara, barulah Barisan Nasional (BN) bersedia berdebat secara terbuka dengan mereka bila-bila masa.

Ahli Parlimen Kota Belud (Umno), Datuk Abd Rahman Dahlan berkata, sekiranya Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, maka BN akan defensif dalam debat itu.
 
Menurutnya, ia kerana PR mengetahui segala dasar dan rancangan BN dengan jelas, namun sebaliknya BN tidak mengetahui dasar PR, hanya melalui Buku Jingga dan ceramah lisan pemimpin mereka.
 
“Pembangkang amat bijak dalam hal ini, mereka tidak pernah mengeluarkan dasar secara menyeluruh, jadi bagaimana kami mahu debat mengenai dasar dan rancangan masa depan negara?
 
“Di negara luar, debat antara kerajaan dan pembangkang boleh diadakan kerana kedua-dua pihak mempunyai dasar yang jelas, maka debat itu medan terbaik supaya rakyat mereka boleh menilai kerajaan yang dikehendaki,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
 
Katanya, debat bukanlah satu-satunya cara menilai pemimpin kerana bimbang ia hanya retorik dan medan bagi menghentam kerajaan.
 
“Debat antara (Presiden MCA) Datuk Seri Chua Soi Lek dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng kelmarin sebenarnya tiada apa-apa yang boleh kita ambil. Bagi saya debat antara kedua-dua pemimpin kaum Cina ini kerana Soi Lek bukanlah Ahli Parlimen, jadi dia perlukan pentas untuk bertanya dengan Guan Eng.
 
“Bagi Anwar pula, beliau Ahli Parlimen Permatang Pauh, maka segala soalannya dalam Dewan Rakyat akan dijawab kerajaan, di situ ada perbezaan ketara. Alasan Anwar tiada peluang berdebat, tidak berasas,” katanya.
 
Abd Rahman yang juga Setiausaha BN Sabah turut menegaskan Buku Jingga yang dibawa PR tidak lebih daripada manifesto semata-mata.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.