PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hari ini memberi keterangan hampir tiga jam di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini.

Beliau yang memberi keterangan sejak 10 pagi berkata kehadirannya di Ibu Pejabat ROS itu adalah untuk memberi keterangan susulan beberapa laporan yang dibuat kepada ROS berhubung dakwaan pimpinan tertinggi gagal mematuhi perlembagaan parti.

Lapan bahagian Bersatu Johor membuat laporan kepada ROS berhubung perkara itu, antaranya  kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian Bersatu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.

“Saya memberi kerjasama penuh dengan mengemukakan bukti dan keterangan berdasarkan kepada perlembagaan Bersatu. Saya menjelaskan kenapa sesuatu tindakan dan keputusan diambil,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan.

Berhubung  sayap Pemuda Bersatu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Shahruddin berkata, Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman akan hadir memberi keterangan kepada ROS dalam masa terdekat.

Minggu lepas, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim berkata, Armada tidak ada dalam perlembagaan parti itu, justeru penggunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan parti boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan mengikut Akta Pertubuhan 1966. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.